Cermin 21: “Kau pasti tahu kesan ilmu itu kepada jiwamu. Mampukah kau, Haqq?”

01:21 puteri jalanan a.k.a annur 15 Comments

sumber gambar: journeyingtothegoddess.wordpress.com

"Tafsirkan cermin kali ini jika kamu berani...aku sudah puas memerhati di dunia maya sini...tapi jarang sekali aku lihat ada yang mampu fahami apa sebenarnya yang sedang terjadi..."

Inderaloka. Pagi yang cerah.

Subuh lagi aku telah terjaga. Aku lihat Haqq masih tidur. Jadinya aku berbuat keputusan untuk mandi dan menyegarkan diri. Aku perlu cepat sebelum dia tersedar dari tidur jika tidak segan aku nanti. Selepas bersiap, aku menyisir rambutku menggunakan tangan dan ketika itu Haqq telahpun terjaga dari tidur. Untuk beberapa lama, dia duduk termenung melihatku. Mamai mungkin?

“Aku mahu pulang kedunia nyata. Hantar?” itulah ayat pertamaku pada Haqq pagi ini. Haqq masih tepat memandangku. Wajahnya tiada perasaan.

“Haqq, kau dengar atau tidak permintaanku?” ujarku lagi. Sakit pula hati aku melihat Haqq seperti patung hidup sebegitu.

“Inilah nyatamu.” Itu saja jawapannya. Dia kemudian bergegas mandi dan bersiap sediakan sarapan pagi buat kami. Aku melihat sahaja. Malas untuk membantu. Aku mahu pulang. Itu sahaja yang ada di dalam hatiku sekarang. Dunia apa ini? Dengan pakaian yang ala-ala tuan puteri ini. Adakala aku jadi terlalu rimas. Aku mahu jeans. Aku mahu t-shirt ringkas. Bukan kain yang membataskan pergerakanku seperti ini. Dengan sanggul bagai. Aku Nur, bukan Cahaya! Oh Tuhan.

“Ini bukan nyataku. Aku pasti. Di dunia sana aku punya ibu dan ayah. Punya kakak, adik dan abang. Aku rindukan mereka semua, pulangkan aku Haqq? Aku benar tidak mengerti kenapa aku sampai boleh kesini.” Rayuku. Haqq yang sedang sibuk hanya berdiam diri. Wajahnya tenang.

“Dimana pun kau berada, setiapnya pasti punya tujuan.” Untuk seberapa lama baru Haqq bersuara. Aku memandangnya pelik. Aku mengeluh perlahan.

“Maksudmu? Maka beritahuku apa tujuanku di Inderaloka ini?” Haqq berdiam diri lagi. Aku mula geram. Aku berdiri di hadapannya dan memegang bahunya. Haqq hanya menjeling dan berpaling muka.

“Haqq, jawablah!” aku goncangkan bahunya. Haqq menolak tanganku perlahan dan dia masih terus bersiap. Aku terus-terusan  mengacau urusannya.

“Kenapa mesti pulang kedunia sana? ada apa yang istimewa?” akhirnya Haqq membalas rungutanku dengan sebuah pertanyaan. Entah kenapa, Haqq terasa hatinya seperti ada satu kebencian pabila puteri menyebut dunia sana.

“Bukankah sana tempat asalku?” soalku pada Haqq. Haqq menjeling lagi. Kenapa dia ini?

“Sini asalmu, sana persinggahanmu.” Jawab Haqq ringkas. Dia duduk sambil menyuakan aku bubur nasi dan air kopi sebagai sarapan pagi. Entah darimana dia dapatkan semua ini, aku pun tidak pasti. Aku duduk disebelahnya sambil menyuapkan sarapan pagi. Entah kenapa, airmataku mengalir kerana terlalu merindui dunia sana.

“Kenapa menangis?” soal Haqq sambil menyuap bubur nasi tanpa sebarang perasaan.

“Aku rindukan dunia sana...entah bagaimana mereka semua tanpa kehadiranku...” jawabku lemah sambil mengelap airmata yang menitis. Hatiku sebak.

“Berhenti menangis, setiap sesuatu berlaku dengan kadarnya.” Balas Haqq selamba. Aku memandang mukanya dan mencebik kuat. Letih bercakap dengan manusia tak berperasaan. Aku teruskan makan. Terasa lapar pula. Aku makan sambil menangis teresak-esak. Haqq pula makan dengan berselera sekali.

“Nangis pun habis juga bubur ini ya...” seloroh Haqq sambil mengambil bekas di tanganku dan membersihkan di sungai sana. Naik merah wajahku diperli sebegitu.

‘Mestilah habis, lapar...’ bisikku di dalam hati. Segan ditegur sebegitu.

“Bersiap, kita gerak.” Arah Haqq.

“Gerak kemana? Untuk apa? Dan kenapa hanya kita berdua? sudah lama aku ingin menanyakan benda ini padamu, Haqq...” Ya, inilah waktu yang aku tunggu-tunggu.

“Di bibirmu ada sisa nasi tadi...” ujar Haqq sambil tersenyum.

“Hah?” aku terus berlari kesungai. Kurang asam! Lain aku tanya, lain pula dia jawab. Haqq hanya tergelak kecil melihat gelagatku. Malas mahu bertanya lagi, selepas itu kami pun memulakan perjalanan kepuncak gunung ini.

******
Inderaloka. Di sebuah pondok. Seorang lelaki separuh usia sedang duduk berzikir.

“Benar Haqq, aku telah kembali dari pertapaanku.” Lelaki itu bercakap sendirian dengan menutup mata. Jari telunjuknya menyentuh lantai dan dia pusingkan perlahan beberapa kali dengan mengikut arah jam. Serentak dengan itu, angin dihadapan pondok itu turut berputar membentuk puting beliung yang kecil.

“Bila ketenangan sejati ditemui, alam dan diri bergerak selari, dengan kehendak Yang Maha Abadi, segala yang terjadi semua di bawah kawalan hati.” Pawana menyebut perlahan pesanan gurunya, Sang Petapa.

Setelah beberapa ketika, Pawana duduk bersandar di beranda dan termenung melihat anak sungai di tepi pondoknya. Sudah sepurnama dia disini. Tempohari, kerana kasihan kepada Puteri Cahaya dia menyuakan air kristal dengan niat membantu puteri. Dia sedia tahu seksaan Haqq terhadap puteri, maka baginya tidur dan bermimpi panjang adalah ubat terbaik. Untuk mengeluarkan puteri dari situ, dia masih belum mampu. Ilmu sakti kegelapan milik Haqq masih gagal dia tembusi. Dan dia juga sangat pasti, sesiapa pun di Inderaloka ini tidak mampu mengeluarkan mana-mana pun tawanan di Istana Gerhana.

Dahulu, Ilmu sakti cahaya diturunkan padanya manakala ilmu sakti kegelapan diberi pada Haqq. Kata gurunya, keduanya perlu demi menjaga keamanan bumi bertuah nusantara ini. Walaupun dia tidak setuju tentang ilmu yang diajarkan pada Haqq, tetapi dia tidak berani membantah keputusan gurunya. Ini kerana, baginya ilmu kegelapan terlalu bahaya untuk dipelajari, jika disalahguna boleh membawa kepada kesesatan yang nyata. Kata gurunya lagi, walaupun tujuannya satu, jalan perlu berpisah kiri dan kanan, baru timbangannya sekata. Setiap satu punya fungsi masing-masing sama seperti malam dan siang, tanpa salah satunya, bumi akan hancur. Walaupun diakhir nanti timbul pertembungan jalan kiri dan kanan, tetapi itu cuma satu jalan cerita untuk memberi pengertian sejati buat jiwa para pendukungnya. Salah jika hitam tak gelap, salah juga jika putih tak terang. Itulah perlambangan yang diberi gurunya.

Dan kini, Haqq memerintah Inderaloka Bawah, sedangkan dia cuma seorang pengembara bebas. Dia hanya akan keluar bertarung bila nusantara di dalam bahaya saja. Selain dari itu dia lebih suka bersendirian mengingati Sang Pencipta. Dia tidak berkehendakkan kekayaan, baginya itu semua perosak jiwa. Dia lebih suka zuhud seadanya saja. Tapi berlainan pula dengan adik seperguruannya, Haqq. Baginya kekayaan dan kekuasaan perlu demi mencapai tujuan. Manusia yang bodoh hanya layak menjadi hamba kerana ilmu itu kuasa, kejahilan itu sengsara.  Dia lalu teringat perbualannya dulu bersama Haqq.

“Aku tidak suka ilmumu. Bagiku itu sesat. Terlalu penuh dengan samar dan tipudaya. Aku tidak mengerti mengapa guru mesti mengajarkan ilmu itu kepadamu.” Bantah Pawana.

“Setiap dari kita punya tempat masing-masing, abangku Pawana.” Jawab Haqq tenang.

“Kau pasti tahu kesan ilmu itu kepada jiwamu. Mampukah kau, Haqq?”

“Aku terima seadanya.”

“Kerana terlalu kasihkan dirimulah aku berkata sebegini. Lepaskan ilmu itu Haqq, jika tidak mungkin kelak kita kan bermusuhan.”

“Guru pernah berpesan, kebencian antara kita itu satu pertembungan yang pasti. Tanpa itu bumi tidakkan seimbang.”

“Darah dan airmata bukan mainan, Haqq!”

“Jika itu pertaruhannya demi sebuah jiwa suci, aku akan lakukan.”

“Apa saja yang kau mengerti tentang kesucian? Kegelapan menolak kesucian!”

“Kau berkata tanpa asas, abangku.”

“Sehingga kemati, aku akan pertahankan pendirianku ini, jika kau tidak mahu berundur, satu hari nanti kita akan bertemu semula untuk sebuah perhitungan. Ini sumpahku.”

“Teruskan jika itu maumu wahai abangku, Pawana.”

Pawana terjaga dari lamunan pabila kucing belaannya, Supi mengusap kakinya. Dia tersenyum hambar.
“Ingatlah, kamu berdua itu cermin antara satu sama lain.” Pesan gurunya. Pawana mengeluh perlahan 
bila teringat kata-kata ini. Sehingga kini dia masih gagal menerimanya.

******
Inderaloka, ditepi air terjun.

Hari sudah menjengah tengahari dan aku mula letih berjalan. Cuaca pula makin panas. Haqq masih gagah berjalan mendaki gunung ini. Aku yang berjalan lenggang kangkung tanpa sebarang bungkusan ini pun sudah mengah, sedangkan Haqq yang memikul bungkusan yang entah apa isinya masih cergas aku lihat. Aku menggeleng sambil beralasan di dalam hati mungkin kain ini membataskan langkahku.

“Haqq, berhenti sebentar, kakiku letih.” Ujarku setelah beberapa lama berdiam kerana menyimpan tenaga untuk pendakian. Aku memegang dahan pokok berdekatan dan mula menarik nafas panjang.

“Memang kita akan berhenti disini sebentar. Ambil ini, tukar pakaianmu supaya lebih mudah pergerakan. Hari pun sudah meninggi. Aku mahu mencari sesuatu, lakukanlah keperluanmu.” Jawab Haqq ringkas. Dia memang begitu, terlalu diam sehingga suasana sangat suram kurasakan. Dia hanya berkata-kata bila perlu sahaja. Selain dari itu dia lebih suka berdiam diri.

Aku sambut huluran persalinan itu dan ucapkan terima kasih. Hmm, ambil berat juga ya dia padaku? Aku lihat Haqq berjalan masuk ke dalam hutan, tidak pula aku bertanyakan kemana dia pergi dan mencari apa. Aku pun punya urusan sendiri. Aku berjalan menuju air terjun untuk menyegarkan diri. Dek kerana terlalu gembira kerana telah lama tidak mandi di air terjun, aku mula menyelam lama. Ketika aku bangun kepermukaan terkejut aku bila melihat seorang wanita sedang duduk menangis dibatu berdekatan. Wajahnya tidak kelihatan, tangisannya saja yang sayup kedengaran. Aku kaget dan memandang sekelilingku.

“Hanya kerana sekuntum bunga, ayahanda sanggup mengasingkan beta sehingga kegunung ini....untuk apa disini? Oh tuhannnn....” tangisan wanita itu makin kuat. Suaranya mendayu-dayu. Pakaian dan perhiasannya sama sepertiku. Aku kerut dahi. Siapa wanita ini?  Aku cepat menyarung persalinan yang diberi Haqq tadi dan berusaha melangkah semua batu di sini untuk mendekati wanita itu.

“Err..maafkan hamba jika bertanya, siapakah tuan hamba dan mengapa menangis keseorangan disini?” aku cuba menyentuh bahu wanita itu tetapi yang peliknya pabila aku hampir menyentuh saja wanita itu ghaib. Aku sedang bermimpikah? Aku usap mataku berkali-kali.

“Bunga itu rahsia diriku, Nur...tanpa harumannya aku akan mati...” suara wanita itu kedengaran dari belakangku pula. Serta-merta aku berpaling kebelakang dan kulihat wanita itu sedang duduk bersimpuh. Wajahnya sayup memandang air terjun sana seperti ada sesuatu yang sedang dikenangkan. Aku terpinga-pinga, bukankah tadi wanita ini menangis?

“Bukankah hidupnya kita pada nafas?” aku beranikan diri untuk berbual dengan wanita misteri itu. Jika benar tekaanku, melihat susuk tubuhnya dan pandangan matanya dia mungkin sebaya denganku. Tapi, bagaimana dia kenal namaku ya? Pelik. Separuh wajahnya pula ditutupi dengan kain seakan jaring halus berwarna kuning. Oh, wanita ini sangat misteri.

“Nafasku pada haruman bunga, nadiku pada semangat mereka...mereka itu aku, aku itu mereka...” ujar wanita itu lembut. Sebelah tangannya ditadahkan kelangit dan entah bagaimana berbagai jenis bunga menghujani dirinya. Sehingga batu tempat duduknya penuh dengan bunga-bungaan yang sangat harum.
“Tetapi bunga akan layu dengan cepat sekali...” balasku pelik.

“Layu bunga itu janji yang pasti, bila tiba masanya nanti setiap dari kita pasti pergi menghadap Ilahi.”

“Err..tapi kita adalah manusia dan kita bukan bunga.”

“Alam itu ada di dalam diri, Nur...kerana dirimu penuh alam lah kau berada disini...tujuanmu satu untuk mengenali asal usulmu sendiri...”

“Bagaimana kau kenal diriku? Dan siapakah kamu?”

“Ambil kemboja putih ini, simpan dengan cermat, ini akan memimpinmu tentang siapa aku, siapa dirimu dan siapa sebenarnya kita...”

“Baiklah, tapi maaf kerana kurisau bunga ini akan layu sebentar saja lagi. Layu bunga itu janji yang pasti bukan?”

“Ini bukan sebarang kemboja Nur, inilah sebabnya aku digunung ini. Bunga ini satunya bunga yang tidak pernah layu jika kau mahu tahu. Usianya panjang. Semangatku telah terkunci di dalamnya, kerana itulah ia sentiasa subur dan mekar tanpa henti. Kerana ini jugalah aku belum lagi mati. Ia satu hukuman yang  sangat menyakitkan...”

“ Hah? Maksudmu?”

“Ah lupakan, ingat pesanku, jaga bunga ini sama seperti kau menjaga nyawamu sendiri, untuk setiap malam hidulah harumannya sebelum kau tidur, ia punya ubat untuk jiwamu...aku tahu kau terseksa disini...”

“Oh, terima kasih...”


“Izinkan aku pergi...kelak kita kan bertemu kembali untuk melerai sumpahan sang dewi...aku akan setia merinduimu, Nur...” wanita itu meniup angin kearahku dan tiba-tiba aku tersedar. 

Rupa-rupanya aku masih berendam. Aku bingkas menyarungkan pakaian dan berehat di bawah pokok sana. Sedang aku  berehat, kemboja putih tadi teruntai jatuh dihadapanku. Ah, aku sudah lali dengan segala keajaiban di Inderaloka ini. Aku lalu mengambil bunga itu dan menyelitkan ditelinga. Rambut kubiarkan lepas sahaja. Lagipun masih basah, tak elok bersanggul. Kerana terlalu panas, aku pun tertidur untuk beberapa ketika.



sumber gambar: pinterest.com


"Aku suka menjadi patung tak berbunyi di dunia maya ini, aku cuma hadir bila aku rasa kehadiranku itu mampu memberi erti...selain dari itu, aku rela menjadi patung dan menari sendiri tanpa siapa pun peduli...ada seorang sahabatku berkata, bertenanglah...dunia akan berputar pada aturannya...ia punya sistem, maka semuanya sedang berlaku seperti yang ditakdirkan...tiba masanya Haqq pasti akan keluar...mendengar saja ini, jiwaku pedih...aku mahu kedamaian terjadi di hadapan mataku...bukan nanti atau setelah aku mati...tapi bisik hati kecilku, wahai Nur, bersabarlah...jangan tergesa-gesa kerana ikan yang sedang berenang takkan mampu ditangkap dengan tangan yang gelojoh..."

You Might Also Like

15 comments:

Anonymous said...

Siapakah Haq? Siapakah yang lebih berhak? Dimana ingin aku letakkan hak?

letakkan hak pada diri kamu sendiri...

lakukan,jika kamu mampu...

bacalah Quran maka kenallah diri... sebab ALLAH kata: "ALQURAN ITULAH ROH".. Roh sapa? roh kamu laa.... :)

salam,

cik Lynn,sayang...ajar annur ngaji leh?annur ni alip ba ta pun tak lepas lagi,adoyai...ampun makkkk...ampunnn....

Anonymous said...

tiada yang berhak atas aku.
nanti lah kita blajo.
skarang ni duk mencari lagi.
tgh duk nak paham maksud kebenaran pasti nyata.

Anonymous said...

teringat duk tengok crita Superman semalam. Nak test power terbang laju2 sampai terlanggar gunung hancur dikerjakan. Manalah diorang dapat idea buat cerita camni.

Anonymous said...

maafkan aku kerana tak bernama. sebab aku ni pemalu.
tapi aku suka berjalan, berjalan mencari kenyataan.
kadang2 suka mengembara, kembara mencari cahaya.
aku tak datang ikut kehendak, aku datang ikut gerak.
jgn salah tafsir apa aku fikir.
Cukuplah kita kenalkan diri Anun si musafir. Salam dari aku.

Anonymous said...

dari apa yang awak tulis ni. teringat kita ke lagu Tanya sama pokok. Dia nyanyi..

Lihat dalam air nampak bayang-bayang
Campak satu batu bayang pun hilang.

kita pun terpikir..

Lihat dalam cermin nampak bayang bayang
campak satu batu...eh mana pulak pergi bayang aku ni? aku ingat kau adalah aku. Hei cermin, kenapa kau musnahkan angan-angan aku?
Mana aku tahu, tanyalah batu..

salam semua,

hmmm...adakah semua anon ni orang yg sama?

takpela,salam perkenalan ya..annur pun pemalu gak...heheh...:D

Anonymous said...

ha'ah sama tapi tak serupa.

Rafiz Rahim said...

Salam,

dah setahun menunggu...finish this story please...

alah...yela2.orang nak buat berdasarkan kisah benar.dah takda story nak sambung,camana nak tulis.

kang annur ngarut jangan korang nangis pulak.heheh.

ok,nnt annur release lagi satu siri utk pengubat rindu...satu je...

ohhh!

wsalam...lupa pulak ni nk jawab salam org besor ni...eceh.

Rafiz Rahim said...

terima kasih annur yg kiut miut...
sabar itu satu penyiksaan... hehehe

hohoho....sama2 saudara Rafiz...:O